17 August 2009

SPRM Ku


ARJUNA terkejut dengan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bercadang menggantung sementara siasatan melibatkan ahli-ahli politik.

Tindakan itu sebenarnya tidak membawa sebarang penyelesaian dalam usaha memerangi rasuah. Sama ada politik atau tidak, usaha membanteras rasuah perlu diteruskan tanpa sebarang rasa takut.

Justeru ARJUNA bersetuju dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa SPRM tidak sepatutnya lari daripada amanah yang diberi walaupun menerima kecaman dan tekanan daripada sesetengah pihak.

Apa yang penting, SPRM memastikan siasatan dijalankan dengan telus sementara pihak yang disiasat atau diminta membantu siasatan, memberi kerjasama dengan baik. Bersedialah disiasat dan tidak perlu gusar jika mereka tidak bersalah.

ARJUNA percaya dalam menjayakan siasatan, SPRM bertindak mengikut garis panduan yang ditetapkan. Hakikatnya pegawai SPRM juga manusia biasa tetapi amanah dan tanggungjawab yang dipikul amat berat. Mereka memerlukan kerjasama masyarakat supaya siasatan dijalankan tanpa perasaan curiga atau tertekan.

Bagi ARJUNA, hanya orang yang terasa bersalah akan menganggap SPRM bertindak kasar semasa melakukan siasatan yang sering ditonton dalam filem-filem Inggeris.

ARJUNA - Sabor je lerrr

13 August 2009

Kenapa Tok Guru?


ARJUNA geleng kepala apabila membaca reaksi Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai isu berkaitan penghinaan terhadap Islam oleh wakil rakyat DAP, sekutu PAS dalam pakatan pembangkang.

Nik Aziz tidak membantah kerana bagi beliau parti itu bukan parti Islam. Namun selaku pemimpin Melayu Islam, ARJUNA tertanya-tanya dengan kenyataan Tok Guru itu kerana ia sama sekali berbeza dengan reaksi pihak-pihak lain dalam masyarakat Islam yang berkepentingan dalam isu terbabit.

ARJUNA cuba menerima komen Nik Abdul Aziz tersebut sebagai haknya untuk bersuara tetapi pada masa yang sama pemikiran ARJUNA tidak dapat lari daripada mengaitkan ulasan itu dengan kepentingan politiknya.

Apakah Nik Abdul Aziz penganut agama Islam, boleh menerima penghinaan terhadap agama Islam daripada seorang bukan Islam yang bukan mewakili mana-mana parti politik?

Hebat sungguh keterbukaan beliau jika dalam apa keadaan pun, beliau boleh menerima penghinaan sedemikian rupa.

Bagi ARJUNA dalam kes sekarang Nik Aziz bercakap begitu kerana ia seorang pemimpin politik yang mengulas kenyataan "rakan politiknya", tidak lebih dari itu.

ARJUNA - cukup faham

17 June 2009

Tindakan Biadab Bekas MB Perak Janganlah Berulang


SAYA rasa sangat terkejut dan merasa hampa setelah menonton berita di kaca TV apabila dimaklumkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama tiga hari disebabkan tindakan beliau yang bertentangan dengan peraturan Dewan sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Apa guna menjadi Ahli Parlimen jika tidak dapat menghadiri persidangan Parlimen di mana di situlah tempat beliau sepatutnya bertugas sebagai wakil rakyat.

JELAS dan nyata beliau ini memperjuangkan kepentingan peribadinya sahaja berbanding menyuarakan keperluan rakyat di kawasan Parlimen yang diwakilinya setelah dipilih secara demokrasi tidak berapa lama dahulu. Beliau nampaknya tidak berapa pintar apabila menyuarakan perkara membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Parlimen. Perkara itu sepatutnya disuarakan dalam sidang DUN Perak apabila ia bersidang nanti. Ketika itu beliau juga perlu hadir kerana juga telah dipilih secara demokrasi sebagai ADUN di negeri itu.

MENGAPA seorang bekas jurutera yang sudah tentu mempunyai kelulusan dari universiti, tidak faham perkara ini? Mengapa membazirkan masa wakil-wakil rakyat lain yang ingin membincangkan keperluan rakyat di Parlimen? Masa mereka terpaksa dihabiskan untuk menentang sikap bodoh itu. Perkara pertama yang patut disuarakan oleh beliau ialah apa yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Gantang dahulu. Apa keperluan semasa yang sangat mendesak bagi rakyat di kawasan beliau itu yang sepatutnya diutamakan, bukannya hal pembubaran DUN Perak yang tidak ada kena mengena untuk dibincangkan di Parlimen.
LAGIPUN tempoh sidang sangat terhad iaitu sehingga 30 Jun ini sahaja. Jika beliau dihalau keluar Dewan atas sebab-sebab beliau menyuarakan hak dan kepentingan rakyat di kawasan yang diwakilinya, saya menjadi orang pertama berdiri menyokong di belakangnya. Tetapi tidak mungkin menyokongnya berdasarkan apa yang telah dilakukannya itu. Dalam tempoh penggantungan tersebut, rakyat Bukit Gantang tidak ada wakil di Parlimen. Suara mereka tidak didengar di Parlimen sehinggalah wakil rakyat mereka itu kembali menyertai sidang nanti. Itupun jika beliau tidak membuat kecoh lagi.
SAYA berharap selepas ini rakyat di negara merdeka yang tercinta ini biarlah bijak memilih wakil rakyat. Tidak kira dari parti atau puak mana sekalipun, tetapi pilihlah orang yang bukan 'gila', suka mencarut, memaki-hamun, menjerit macam haiwan" ketika diberi peluang menjadi wakil di dalam Dewan mulia itu. Sekiranya perkara ini tidak diteliti dan dihalusi, saya rasa kenikmatan kemerdekaan yang kita rasa sekarang akan terhakis sedikit demi sedikit sehingga negara kita dipenuhi oleh tentera dan polis pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjaga supaya kita jangan bergaduh dan berbalah sesama sendiri.

15 June 2009

Penguasaan BI, Contohi Pengalaman AS


CADANGAN Bahasa Inggeris (BI) sebagai syarat wajib lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah satu dasar yang perlu diterima bulat-bulat. Semua pihak diberi masa untuk mengemukakan pandangan. Inilah sikap yang bertepatan dengan konsep ijtihad dan syura. Apa sahaja cadangan yang melibatkan dasar pendidikan perlu diteliti. Amat menyedihkan sekali apabila kaedah Communicative English yang diperkenalkan 20 tahun lalu gagal mencapai matlamatnya. Pelajar Melayu yang mempelajari BI pada peringkat rendah hingga menengah masih tidak mampu menguasai BI dengan baik. Antara punca yang dikenal pasti ialah kaedah pengajaran yang tidak sesuai, guru yang tidak berkualiti dan suasana persekitaran luar bandar yang tidak menggunakan bahasa itu dalam kehidupan seharian.

APA pun punca kegagalan menguasai BI, langkah-langkah mengatasinya memerlukan perbincangan mendalam, analisis pakar dan sumber kewangan yang mencukupi.
Cabaran kepada punca-punca tersebut ialah bagaimana memantapkan kaedah pengajaran dan melahirkan guru berkualiti dalam tempoh singkat. Dalam dunia yang menghadapi arus globalisasi dan penuh dengan saingan, faktor masa amat penting. Adakah kita mahu generasi kita mampu menguasai BI dalam masa yang lama? Sudah tentu akal dan logik kita mahukan keputusan singkat lagi memuaskan.

SEJARAH Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua boleh dijadikan contoh. Antara aspek yang menjadi fokus utama AS ketika itu ialah penguasaan bahasa Jerman untuk tujuan perisikan.
Bahasa itu begitu asing di kalangan rakyat AS tetapi ia perlu dikuasai dalam tempoh singkat oleh anggota tentera. Melalui gabungan pakar-pakar universiti dan tentera, mereka memperkenalkan program khas "Army Specialized Training Programme (ASTP)". Mereka membina sebuah perkampungan ala-Jerman, mengamalkan budaya dan makanan bangsa Jerman. Selain itu, para peserta diagih-agihkan ke dalam kelas-kelas yang bersaiz kecil. Mereka dilatih oleh penutur asli bahasa Jerman yang juga merupakan seorang pemberi maklumat bagi pihak AS. Latihan tertumpu kepada hafalan, penggunaan gambar, carta dan kaset. Selepas beberapa bulan, keputusan program tersebut membuahkan kejayaan yang menakjubkan.

JELAS kepada kita penguasaan BI juga boleh dipertingkatkan lagi berdasarkan sejarah dan pengalaman AS itu. Kaedah pengajaran yang tepat dalam pengajaran BI dapat membantu menguasai bahasa itu dalam tempoh singkat. Saya berharap dasar wajib lulus BI dalam SPM hanyalah cadangan berunsur motivasi agar pelajar menyedari kepentingan BI sebagai bahasa utiliti dan untuk berhubung dengan dunia luar. Pada hemat saya, jika dasar itu diluluskan ataupun tidak ia tidak memberi kesan yang ketara.

RAMAI pelajar Melayu yang gagal dalam BI pada peringkat SPM mampu menguasai bahasa itu apabila menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang memberi penekanan kepada kepentingan BI dan kaedah pengajarannya yang betul. Tidak mustahil pelajar Melayu luar bandar mampu menguasai BI melebihi pelajar bandar jika latihan intensif dilaksanakan dengan serius. Andaian pelajar luar bandar sukar menguasai BI juga tidak lagi menjadi alasan.

09 June 2009

Perpaduan Tunjang Kemakmuran


NEGARA kuat mempunyai rakyat bersatu padu dan sentiasa bersama-sama membangunkan agama, bangsa dan negara itu. Negara inie sukar digugat dan sama sesekali tidak gentar dengan pelbagai ancaman atau ugutan pihak musuh.Bagi mencapai status negara kuat, tidak ada cara lain yang perlu dilakukan melainkan dengan bersatu. Ini sendiri bertepatan dengan hukum dan tuntutan Islam yang meletakkan perpaduan sebagai asas kekuatan negara.

PERPECAHAN, persengketaan, pergaduhan, permusuhan dan pertelingkahan amat dibenci Islam kerana akan membawa kepada kehancuran bukan saja kepada negara itu, malah seluruh rakyat, agama dan bangsanya.Tidak hairanlah, perpecahan akan memberi peluang kepada musuh untuk melaga-laga dan menghancurkan apa saja yang diingini, tanpa mengambil kira perasaan dan hak mangsanya.Bagi menghalang perpecahan, perpaduan hendaklah diutama dan ditekankan, tidak hanya dalam aspek pertahanan, malah merangkumi semua aspek kehidupan.

PERLU diingat, musuh tidak mengintai kelemahan sesebuah negara berdasarkan satu sudut saja, tetapi dalam banyak perkara yang boleh menguntungkan mereka. Justeru, umat Islam perlu mengukuhkan perpaduan ummah dalam semua aspek kehidupan sama ada perpaduan, ekonomi, politik atau dalam sebarang kegiatan sosial.Kunci perpaduan adalah persaudaraan sesama rakyat. Semakin erat persaudaraan, semakin kukuh perpaduan sesebuah negara atau ummah.

SEMANGAT persaudaraan perlu dipupuk dalam hati setiap rakyat, sebaliknya, permusuhan adalah virus utama kepada persaudaraan.Maknanya, jika sesebuah bangsa atau kaum sering permusuhan serta bersengketa, mereka sebenarnya tidak bersaudara, apatah lagi untuk membentuk kesatuan dan perpaduan.Perpaduan adalah lambang kekuatan dan ia juga sebagai lambang kedamaian serta keharmonian.

DALAM al-Quran, kita boleh mengkaji banyak ayat yang menyarankan supaya bersatu dan bersaudara. Di antaranya, firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya, orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu diberi rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10).Untuk mengekalkan persaudaraan, al-Quran menganjurkan agar usaha ke arah perdamaian diperhebatkan, jika pada ketika itu wujud bibit-bibit kehancuran dan kemusnahan.

DALAM pada itu, Allah memberi amaran kepada kita supaya jangan berpecah belah kerana ia boleh meleraikan persaudaraan dan kekuatan ummah. Dengan ini, umat Islam seharusnya bantu-membantu untuk membina keutuhan dan kesatuan di mana saja mereka berada. Kita hendaklah lebih mementingkan keutuhan umat daripada kepentingan diri.Perpaduan dan kesatuan menjadikan kita ummah yang kuat dan teguh, sedangkan perpecahan menyebabkan kita menjadi ummah lemah dan mudah dipermainkan musuh.

06 May 2009

Jenayah Ragut


SEMALAM, seorang lagi wanita mangsa ragut meninggal dunia setelah koma sejak Ahad lepas. Akibat beg tangannya direntap, wanita yang sedang mengandung itu terjatuh, kepalanya tercedera lalu koma. Kes Ahad lepas yang berlaku tidak sampai 100 meter dari rumahnya di Ayer Hitam, Batu Pahat, sebenarnya kes ragut kedua dialami ibu muda itu. Dia diragut pertama kali pertengahan tahun lepas.


KISAH yang menyayat hati itu mengingatkan kita kepada beberapa kes lagi seumpamanya. Sudah ramai yang menjadi mangsa ragut. Selain barangan yang diragut, nyawa mereka gagal diselamatkan setelah beberapa lama menderita dan terlantar di katil hospital. Bagi mangsa ragut yang terselamat, mereka biasanya sukar melupakan pengalaman ngeri itu.


YANG pasti, jenayah ragut sudah menjadi satu fenomena di negara kita sama ada di kampung atau di bandar. Walaupun kita berada di hadapan rumah sendiri, risiko ragut sentiasa ada. Sudah tentu, mengharapkan polis semata-mata bagi membendung fenomena ini adalah sesuatu yang tidak wajar. Setiap daripada kita perlu mencari jalan mencegahnya, fikir-fikirkan lah...

20 April 2009


SEINGAT kita, sejak kemelut politik melanda negara terutama di Perak, tidak pernah Sultan Azlan Shah memberi titah berhubung perkara tersebut. Hanya anakanda baginda, Raja Dr. Nazrin Shah yang beberapa kali menyentuh soal berkaitan institusi raja Melayu dan orang Melayu yang cuba dicalarkan oleh pihak tertentu.Tetapi semalam, bukan sekadar Raja Muda bertitah berkaitan kedudukan raja Melayu malahan Sultan Perak juga berbuat demikian.
BAGINDA selama ini mendengar dan memerhati pelbagai peristiwa politik yang ada ketikanya ‘hodoh’ dan memalukan. Satu peringatan yang menarik perhatian kita bahawa raja pemerintah bukan daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan.

BAGINDA juga mengingatkan betapa bahayanya cubaan menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara, mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja. Kita sudah keterlaluan dalam berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.Kemelut ini tidak berlaku jika semua pihak tidak membangkitkan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara, berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara serta memahami asas kewujudan Malaysia.

16 April 2009

Saf Kabinet


DATUK Seri Najib Tun Razak telahpun mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinetnya semalam dan telahpun mengingatkan safnya tentang apa yang diharapkan oleh rakyat.Soal integriti, kebolehan, kesetiaan dan kesungguhan diberi penekanan supaya harapan rakyat yang terdiri daripada semua kaum dapat dipenuhi dengan sebaik mungkin.

YANG pasti, Najib telah memperjelaskan hala tuju yang hendak dibawanya menerusi gagasan Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Beliau mahu semua pihak berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dan apa juga tindakan perlulah berdasarkan kehendak rakyat pelbagai etnik.

SOAL fungsi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga diperjelaskan. Yang pasti fungsi dan agensinya kekal dan diserapkan ke dalam pelbagai kementerian lain.Sudah tentu barisan Kabinet Najib menggalas tanggung jawab besar dalam membawa kemajuan kepada rakyat dan negara. Mengaitkan barisan Kabinet dengan KPI membuktikan tahap kesungguhan untuk berkhidmat.

07 April 2009

Gagasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan


BAGAIKAN satu kebetulan, Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri ketika sentimen dan gelombang politik negara yang sama turut menguji ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein. Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada September 1970 ketika negara masih dibayangi peristiwa 13 Mei 1969. Sentimen perkauman yang diapi-apikan oleh segelintir pihak sehingga mencetuskan konflik berdarah dan mencatat sejarah hitam kepada perpaduan pelbagai kaum di negara ini.

NEGARA turut berdepan dengan sentimen yang hampir serupa ketika Najib mengambil alih kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Isu-isu seperti hak keistimewaan bumiputera, pertikaian mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dan perkataan Allah, sengaja ditolak ke tengah gelanggang politik untuk diperdebatkan. Tanpa mengambil kira sensitiviti kaum-kaum tertentu, isu ini diperbesarkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meraih sokongan popular. Meskipun mungkin tidaklah sehingga mampu mencetuskan rusuhan kaum, namun sentimen itu boleh menghancurkan keharmonian perpaduan sekiranya dibiarkan berlarutan.
JUSTERU, sebagaimana Tun Razak berjaya menjernihkan keretakan hubungan kaum sepanjang pemerintahan beliau, begitulah juga yang diharapkan di bawah kepimpinan Najib. Kesungguhan Najib untuk membawa perhubungan kaum ke satu tahap yang lebih baik dapat dilihat sewaktu beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lalu.
Dalam perutusannya, Najib antara lain mengajak seluruh rakyat melaksanakan transformasi besar-besaran atas semangat "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan". Diletakkan paling hadapan memberikan maksud yang jelas bahawa penyatuan pelbagai kaum menjadi tunjang utama. Tanpa keteguhan perpaduan antara kaum, agenda penyampaian kebajikan rakyat dan merancakkan pembangunan negara tidak mungkin akan terlaksana.
Kekukuhan elemen perpaduan sangat penting kerana ia merupakan jaminan kepada keselamatan sosial, politik dan ekonomi.

DALAM erti kata lain, setiap rakyat Malaysia walau dalam kelompok mana sekali pun, tidak akan merasakan mereka terpinggir atau diketepikan dalam arus pembangunan negara.
Barangkali Najib melihat ada segelintir pihak yang merasakan sebaliknya. Perkara itu tidak boleh dipandang mudah apatah lagi dengan adanya pergerakan kumpulan tertentu yang lantang mempersoalkan mengenai kebajikan mereka. Meskipun banyak ruang yang boleh dinafikan kebenarannya, namun ia tidak memadai sekadar menafi atau membandingkan dengan kejayaan individu lain dalam kelompok yang sama. Sebaliknya, agenda yang lebih besar diperlukan bagi meyakinkan pelbagai kaum waima kelompok kecil sekali pun bahawa tidak pernah wujud amalan diskriminasi dalam pengagihan kekayaan negara.

SEMANGAT Satu Malaysia juga tidak sesekali boleh disalahertikan dengan perjuangan Malaysian Malaysia. Pembangkang mungkin melihat Najib dalam gagasannya mengambil pendekatan serupa dengan Malaysian Malaysia yang sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi rakyat pelbagai kaum. Namun konsep kesamarataan dalam Malaysian Malaysia jauh berbeza dengan ideologi kenegaraan dalam gagasan Satu Malaysia. Malaysian Malaysia secara jelas berpaksikan ideologi politik yang cuba memenuhi kepentingan politik sesetengah individu. Sedangkan Najib menerusi gagasan Satu Malaysia tidak akan sesekali menggadaikan kesepakatan yang dicapai seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

LEBIH jauh, gagasan Satu Malaysia yang menjadi harapan juga berteraskan semangat Rukunegara dalam melahirkan bangsa Malaysia yang berjaya. Dengan hakikat itu, Satu Malaysia boleh disimpulkan kepada usaha bagaimana seluruh rakyat Malaysia dapat memperkukuhkan jati diri kenegaraan di sebalik latar belakang etnik, agama dan gender yang berbeza. Justeru, satu asas yang boleh dipegang secara bersama perlu disuburkan di kalangan rakyat pelbagai kaum dalam menterjemahkan apa yang dimahukan menerusi Satu Malaysia. Ia tidak boleh mengelak daripada berpaksikan semangat patriotisme dan nasionalisme yang berteraskan ideologi kenegaraan.

MENARIKNYA, gagasan Satu Malaysia yang disusuli dengan "Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan" dilihat mempunyai semangat yang tepat ke arah keseimbangan dan kemurnian antara kaum. Tidak keterlaluan jika disimpulkan semangat gagasan itu bakal membawa negara di bawah era Najib menghampiri Wawasan 2020 seperti mana yang ingin direalisasikan. Bagaimanapun, gagasan semata-mata tidak menjanjikan realiti tanpa jentera pelaksana yang juga bijaksana. Hakikatnya, negara selepas 52 tahun mengecapi kemerdekaan sudah mempunyai agenda dan dasar yang besar ke arah merapatkan jurang antara kaum. Apa yang diperlukan oleh gagasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan barangkali penambahbaikan kepada dasar sedia ada supaya dapat disesuaikan dengan perubahan persekitaran semasa.

PELAKSANAANYA juga tidak boleh mengelak daripada berdepan cabaran dan rintangan, apatah lagi dalam usaha memperjelaskan sesuatu yang sudah menjadi hak dan keistimewaan kaum bumiputera. Sesuatu yang pasti, kekuatan sebenar kepada gagasan Satu Malaysia seperti yang diharapkan oleh Najib terletak di tangan rakyat kebanyakan. Rakyat harus faham bahawa gagasan Satu Malaysia yang berteraskan ideologi kenegaraan bukan semata-mata satu usaha untuk mengecapi kejayaan hari ini. Sebaliknya, apa yang lebih utama ialah ia bakal menentukan kelangsungan tamadun Malaysia yang mahu diwarisi kepada generasi akan datang.

06 April 2009

Pembangkang Perlu Profesional


MUNGKIN tidak keterlaluan kalau dikatakan arena politik Malaysia paling malang di dunia pada masa kini. Ia kerana kerajaan Malaysia di bawah teraju Barisan Nasional (BN) terpaksa berhadapan dengan satu pasukan pembangkang yang memualkan.

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, yang menyaksikan pembangkang mengukuhkan kedudukannya di Parlimen serta menawan Selangor, Perak (selama 11 bulan) dan Kedah telah menyebabkan pakatan berkenaan yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas 'naik toncang'.

MALAH kejayaan di dua pilihan raya kecil iaitu di Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu selepas itu telah memungkinkan pembangkang menjadi bongkak!

HARAPAN untuk melihat mereka menjadi pembangkang yang profesional dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta menyokong dasar baik yang dilakukan oleh kerajaan ternyata tidak kesampaian.

SEBALIKNYA apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan ada sahaja yang tidak kena, malah pemimpin-pemimpin pembangkang menggambarkan seolah-olah merekalah pakatan paling sempurna di dunia dan pemimpin-pemimpin mereka paling bersih serta paling baik berbanding pemimpin dalam BN.

JUSTERU mereka terus melakukan propaganda, hasutan, fitnah dan maki hamun kepada BN terutamanya UMNO. Bagi pembangkang, mereka yang paling layak memerintah Malaysia dan kononnya jika mereka menguasai negara ini, segalanya akan menjadi baik dan sempurna.
Tetapi rentetan apa yang berlaku selepas mereka memerintah negeri-negeri yang ditawan menggambarkan sebaliknya. Satu demi satu kepincangan pemimpin pembangkang mula terserlah. Pembangkang terlupa bahawa mereka juga adalah manusia yang tidak akan terlepas daripada melakukan noda dan dosa, kesilapan dan kesalahan.

OLEH itu, rakyat seharusnya menyedari hakikat ini dan tidak perlu terlalu mudah percaya dengan kata-kata pembangkang apatah lagi daripada insan-insan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang suatu ketika dulu berada dalam UMNO dan kerajaan.

RAMAI yang mengetahui siapa diri beliau sebenar ketika berada dalam kerajaan. Tetapi kini apabila mengetuai pembangkang segala-galanya berkaitan kerajaan tidak betul belaka.
Pembangkang seolah-olah memegang prinsip kalau BN buat salah, mereka buat betul. Kalau BN laksanakan sesuatu perkara, itu retorik. Kalau mereka buat, itu realiti. Kalau BN lakukan tindakan itu haram atau salah tetapi kalau mereka laksanakan itu 'halal' atau baik demi rakyat.

MALANG sekali, pembangkang tidak pernah mahu melihat kepada realiti dan keikhlasan terhadap apa juga yang dilakukan oleh BN. Lebih buruk lagi, apabila peralihan kuasa berlaku antara Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi mereka menganggap ia tidak sewajarnya berlaku.

MEREKA membuat pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap Najib dengan matlamat untuk mencalarkan imej Perdana Menteri yang baru di mata rakyat tetapi malangnya orang yang membuat tuduhan itu hakikatnya lebih buruk perangainya daripada orang yang difitnahnya.

MALAH fitnah paling gila yang dilakukan oleh pembangkang ialah menyebarkan dakyah bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak memperkenankan pelantikan Najib.
Sebenarnya, peralihan kuasa yang berlaku meresahkan pembangkang. Ini kerana mereka memahami bahawa perubahan pucuk pimpinan negara dan BN itu melengkapkan proses pemulihan yang dilakukan oleh parti tersebut dalam mengembalikan keyakinan kepada rakyat.

PEMBANGKANG benar-benar bimbang, peralihan kuasa itu akan memungkinkan rakyat kembali menyokong BN kerana kemenangan mereka dalam pilihan raya umum hanyalah kerana nasib bukan disebabkan oleh rakyat mahukan pembangkang memerintah.

OLEH itu, bagi menimbulkan keraguan di kalangan rakyat, mereka melemparkan pelbagai tuduhan dan apabila Najib mengumumkan membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan akan mengkaji akta itu, mereka mendakwa ia atas desakan pembangkang.
Tetapi kalau kerajaan tidak bertindak demikian, mereka akan menganggap kepimpinan baru negara diktator. Oleh itu, bagi pembangkang apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan adalah tidak betul, mereka sahaja yang sudut lain pula, tidak keterlaluan kalau dikatakan kejayaan Najib menduduki kerusi Perdana Menteri mengecewakan Anwar yang hasratnya terkubur pada tahun 1998. Anwar seolah-olah tidak mampu menerima hakikat bahawa kerusi nombor satu negara itu adalah milik Najib.

SEBELUM ini, beliau benar-benar ingin berada di situ sehingga sanggup memunculkan mimpi 16 September. Bagi Anwar, adalah sesuatu yang memilukan apabila terpaksa melihat Najib melangkah gagah memasuki bukit Seri Perdana sedangkan beliau terus dengan mimpi politiknya di Bukit Segambut.

APA pun, pembangkang harus sedar bahawa sandiwara politik mereka kini sudah memasuki babak akhir. Rakyat semakin sedar apa erti sebenar pakatan songsang yang melibatkan PKR, DAP dan Pas. Ia hanyalah pakatan untuk merebut kuasa dan bukannya berjuang bagi kepentingan rakyat.

DISEBABKAN nawaitu yang tidak betul itulah yang menyebabkan satu demi satu 'petaka' menimpa pakatan pembangkang. Ketika mereka masih bergelut dengan pelbagai masalah yang mula datang satu demi satu, BN terutamanya UMNO pula semakin pulih daripada kejutan akibat Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

IA terbukti apabila dalam pemilihan UMNO yang berlangsung baru-baru ini, Najib mendapat satu barisan kepimpinan yang dianggap cukup mantap. Malah dalam perbualan penulis dengan beberapa pemimpin pembangkang, mereka mengakui bahawa Najib memiliki satu pasukan yang padu.

KETIKA ini, pembangkang menanti pula bagaimanakah bentuk barisan Kabinet Najib. Mereka bukannya bersedia untuk memberikan ucapan tahniah atau mengalu-alukan pelantikan yang bakal berlaku, sebaliknya akan mengkaji satu demi satu latar belakang pemimpin yang dipilih.
Percayalah, sebaik manapun barisan Kabinet yang akan ditubuhkan oleh Najib, ia pastinya tidak akan mendapat sekelumit pujian daripada pembangkang terutamanya Anwar. Pelbagai tafsiran, fitnah dan tohmahan akan dilemparkan kepada barisan Kabinet tersebut.

NAMUN dalam soal ini, kita percaya Najib dan barisan kepimpinan negara tidak akan melayan kerenah pembangkang, apa yang lebih penting ialah sejauh manakah Kabinet berkenaan mampu merealisasikan impian 'Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.'

PEMBANGKANG boleh berkata apa sahaja kerana mereka sudah melihat kepimpinan baru negara di bawah Najib sudah menampakkan kelainan. Istilah 'Harapan Baru' yang sebelum ini dilaung-laungkan oleh pembangkang semakin jelas dilaksanakan oleh kerajaan manakala pembangkang pula terus diusik harapan yang semakin pudar.

03 April 2009


HARI ini satu lagi sejarah pematuhan Perlembagaan negara tercatat. Balairung Seri Istana Negara menyaksikan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang, yang bernama Najib Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keenam.

PEMIMPIN yang memakai gelaran Datuk Seri itu mempunyai rekod istimewa. Peruntukan Perkara 2 Perlembagaan pernah diguna pakai untuk melantik bapanya sebagai Perdana Menteri kedua Malaysia.

SEMESTINYA rakyat Malaysia pelbagai kaum, di bandar, luar bandar, Semenanjung, Sabah dan Sarawak meletakkan harapan amat tinggi agar upacara hari ini yang disusur galurnya daripada Perlembagaan negara membawa natijah positif.

JUSTERU mematuhi prosedur serta adat yang telah dijunjung sejak negara mencapai kemerdekaan hampir 52 tahun lalu, maka Perdana Menteri kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin merangkap Yang di-Pertuan Agong ke-13 untuk mempersembahkan hasrat meletakkan jawatan dan menamakan penggantinya iaitu Najib, semalam.

KESINAMBUNGAN daripada itu, maka hari ini Najib dengan disaksikan oleh pemimpin-pemimpin kanan, orang penting, para kenamaan dan duta-duta asing menyimpul janji dan memeterai sumpah untuk memikul beban tanggungjawab yang sesungguhnya amat berat.

NAMA Najib kini di kedudukan terakhir selepas Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Peralihan kuasa yang tidak pernah menampakkan ranjaunya sepanjang hampir 52 tahun negara mencapai kemerdekaan mewarnai giliran pelantikan Najib.

DI sebalik haru-biru yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, tata cara Perlembagaan negara masih disanjung dan dihormati.
LANTARAN, itulah panduan hidup kita sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan.

01 April 2009

Guru Berpolitik Boleh Jejas Perkhidmatan Dan Prestasi Pelajar

TIDAK dinafikan guru adalah golongan yang banyak membaca di negara ini. Oleh itu, mereka ini antara golongan yang banyak mengetahui pelbagai hal sama ada ruang lingkup yang mereka ajar di sekolah atau tidak.

GURU cemerlang ialah guru yang tidak jemu membaca untuk menambah pengetahuan mereka dan bukannya terperuk dengan ilmu untuk mereka ajarkan kepada anak murid mereka saja. Dengan itu, ada yang berpendapat golongan ini sesuai berpolitik atau terbabit aktif dengan politik. Sejarah membuktikan ramai pemimpin di negara kita berasal daripada para guru.

BAGAIMANAPUN, ada buruknya jika guru aktif berpolitik iaitu :-
  • Guru akan menghabiskan banyak masa diluar sekolah termasuk mengadakan ceramah, kempen dan sebagainya;
  • Ia mendatangkan kesan negatif kepada pelajar kerana guru yang terlalu aktif dalam politik mungkin akan bergerak ke luar daerah untuk menjalankan misi mereka dalam politik;
  • Memandangkan masalah disiplin yang tidak pernah surut di sekolah, ia mungkin tambah membebankan memandangkan kebanyakan guru yang berminat dalam politik tentulah dari kalangan lelaki;
  • Sikap berpuak-puak akan lebih ketara di sekolah apatah lagi jika ada perbezaan pendapat dan anutan politik di kalangan guru di sekolah. Dalam soal ini, selain merenggangkan hubungan antara guru pelajar turut berasa tempiasnya; dan
  • Adalah dibimbangi guru akan menyerapkan ideologi politik mereka kepada pelajar dan jika apa yang didedahkan itu penentangan terhadap kerajaan, keadaan akan menjadi lebih parah.

BUKAN hanya guru yang berpuak-puak, malah pelajar juga akan berpuak-puak dan menjadi medan untuk membahaskan soal politik.

DAN bagi memperkukuhkan lagi kredibiliti guru, para guru boleh memainkan peranan dengan cara lain untuk menunjukkan bahawa mereka juga berpolitik. Mereka boleh menyumbangkan buah fikiran melalui tulisan seperti pejuang tanah air sebelum ini yang banyak meniupkan semangat kebangsaan menerusi tulisan mereka di akhbar dan majalah.

31 March 2009

Sirah Nabi Muhamad Dan Pertumbuhan Bayi Yang Sihat

MENYEBUT mengenai institusi ibu susuan, sehingga ke hari ini ia kedengaran masih terlalu asing apatah lagi menjadi satu amalan sebagai satu kaedah berkesan bagi memastikan bayi-bayi dapat tumbuh dan membesar dengan lebih sihat dan kuat.

TIDAK kurang yang sinikal dengan berkata institusi ibu susuan, merupakan satu budaya Arab Jahiliah sekalipun Nabi Muhammad SAW antara yang mendapat khidmat tersebut dalam tempoh dua tahun, iaitu tempoh susuan yang paling baik buat seorang bayi.

OLEH kerana ia menjadi satu amalan dalam budaya Arab Jahiliah maka dikatakan adalah tidak sesuai untuk kita contohi. Adakah benar begitu?

KITA telah mendengar dan mengetahui sebelum ini, mengenai kisah Nabi Muhammad yang semasa umur bayinya disusui oleh ibu susuan, malah telah dipisahkan daripada ibunya, Siti Aminah. Baginda menjalani kehidupan dalam suasana yang kedesaan, jauh dari kesibukan Kota Mekah.

SUSU ibu adalah yang paling berkhasiat dan terbaik untuk pertumbuhan bayi dan kanak-kanak. Selain telah menjadi hak setiap bayi untuk menyusu dengan susu badan, iaitu bukan dengan susu lain termasuk diperah segar dari sumber haiwan ternakan terutamanya lembu atau susu formula, khasiat susu itu tidak perlu diceritakan lagi.

MALAH jika tidak cukup oleh ibu sendiri akan dicari ibu susuan bagi memastikan bayi-bayi mereka menikmati khasiat hanya dari susu ibu itu.
Namun, susu sahaja tidak memadai, bagaimana dengan persekitaran luar dan dalam rumah yang sihat untuk anak-anak itu membesar dengan baik tanpa dipengaruhi oleh sebarang elemen-elemen yang cemar, kotor yang bakal memberi kesan kepada pertumbuhan fizikal dan mental bayi walaupun baru dilahirkan?


PERKARA ini dipandang dengan begitu serius oleh masyarakat Arab walaupun mereka dilabelkan sebagai jahil.

OLEH kerana itu mereka memperkenalkan ibu susuan, yang sama sekali tidak bermakna susu ibu untuk didagangkan. Malah ada yang membawa bayi mereka ke ceruk-ceruk desa bagi mencari ibu susu yang boleh berkongsi susu dengan bayi yang datangnya dari kota semata-mata bagi memastikan si bayi mendapat yang terbaik sahaja untuk tempoh pembesaran yang penting itu.


NABI Muhammad juga tidak terlepas dari menjadi sebahagian dari amalan ini walaupun pada awalnya baginda telah disusui oleh ibunya sendiri, Siti Aminah dan diikuti Thuwaibah, hamba perempuan milik bapa saudara baginda, Abu Lahab yang ketika itu sedang menyusui bayinya sendiri, yang bernama Masruh.

NAMUN Nabi Muhammad masih perlu disusui dalam suasana yang lebih baik berbanding di Kota Mekah walaupun kota tersebut merupakan kota Ibadat dan menjadi tumpuan oleh ramai pengunjung setiap tahun yang datang untuk mengerjakan haji dan menemui mereka yang alim dan kuat beribadat di situ.

LALU, keluarga Rasulullah terutama datuk baginda, Abdul Mutalib mencari-cari ibu susu untuk menyusukan cucunya itu yang antara lain bertujuan supaya baginda Rasulullah tidak dijangkiti penyakit-penyakit sama ada dari serangan virus atau kuman mahupun penyakit yang merosakkan pemikiran.

DI samping sebenarnya, menghantar bayi ke desa-desa adalah penting bagi memastikan si anak mempelajari bahasa Arab jati, fasih dan asli.

LALU siapakah wanita desa yang bertuah dapat menyusui baginda dan dapat menyaksikan sendiri Nabi Muhammad membesar di tangannya?

TENTU sekali nama yang telah sering menjadi sebutan, Halimah atau dikenali juga Halimatus Saadiah (kerana berasal dari Bani Saad) binti Abu Dhuayb, isteri kepada al Harith bin Abdul Uzza yang terkenal dengan gelaran Abu Kabsyah dari kabilah yang sama.
Namun tahukah anda, Nabi Muhammad sebelum disusui oleh Halimah, sebenarnya tidak mendapat tempat di hati ibu-ibu susu dari desa yang datang ke Kota Mekah semata-mata untuk mencari bayi yang hendak mereka susui.


HANYA kerana baginda anak yatim. Setiap dari mereka ditawarkan untuk menyusukan Nabi Muhammad tetapi kesemuanya enggan menerima baginda apabila sebaik sahaja mendapat tahu bahawa bahawa bayi itu seorang anak yatim.

INI kerana mereka lazimnya juga mengharapkan agar mendapat sesuatu kebaikan dari bapa si bayi, jika sekadar dari datuk dan ibu si bayi pastinya tidak mendatangkan yang lumayan buat mereka.

LALU diceritakan Halimah antara wanita-wanita dari desa Bani Saad yang beramai-ramai keluar dan menuju ke Mekah untuk mencari bayi dan dibayarkan upah apabila mereka menyusui bayi-bayi itu.

MEREKA terpaksa keluar untuk mencari upah itu akibat tekanan dari musim kemarau yang menimpa kampung mereka.


HALIMAH dan suaminya bersama seekor keldai tua, bernama Qamra dan unta betina yang juga sudah tua dan telah kering susunya menuju ke Mekah dengan penuh kepayahan.
Mereka sering terpaksa berada dalam kelaparan kerana tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan unta yang tidak lagi mampu mengeluarkan susu.
Setiba di Mekah, Halimah merupakan ibu susuan yang sanggup menerima Nabi Muhammad setelah ibu-ibu lain enggan menerima baginda kerana status anak yatim yang dimiliki oleh baginda itu.


"Demi Allah, saya tidak akan pulang semula ke desa tanpa seorang bayi pun untuk saya susui," katanya kerana kesukarannya untuk mendapatkan bayi untuk dibawa pulang.

HALIMAH sama sekali tidak mengetahui gerangan tuah si bayi kecuali mengambil baginda kerana Nabi Muhammad satu-satunya bayi yang masih tinggal minta untuk disusui oleh ibu-ibu susu.


NAMUN suami Halimah berkata: "Tidak ada salahnya kamu mengambil bayi itu, mudah-mudahan Allah memberikan kita keberkatan pada bayi itu," kata Al Harith.

LALU Halimah membawa Nabi Muhammad yang masih bayi itu untuk disusui walaupun dirinya dalam keadaan yang serba kekurangan termasuk susu badannya yang semakin berkurangan.
Namun dihulurkan juga kepada Nabi Muhammad untuk menyusu badan dan tidak semena-mena didapati bayi itu menyusu dengan enak dan puas seolah-olah terdapat banyak bekalan susu dari badan si ibu susuan itu.


SEHINGGAKAN Rasulullah kemudiannya dapat tidur dengan lena seperti kekenyangan dan cukup bekalan susunya.

MALAH ketika suami Halimah keluar, melihat unta betinanya yang sudah tua itu didapati unta itu juga dapat mengeluarkan susu dengan banyak sehingga tidak tertampung untuk diminum.
Ini membolehkan Halimah sendiri dapat menambahkan bekalan susu dalam badannya apabila beliau sendiri dapat minum susu unta dengan banyaknya.


PADA keesokan paginya, Al Harith berkata kepada isterinya: "Demi Allah, ketahuilah Halimah, sesungguhnya engkau telah mengambil seorang manusia yang sangat diberkati. Jika tidak manakan engkau dapat menyusukan bayi ini dengan bekalan yang banyak dan unta yang tiba-tiba juga mengeluarkan susu dengan begitu banyak sekali," katanya.

TANDA-TANDA keberkatan dan kelebihan Rasulullah tidak henti setakat itu sahaja, sebaik tiba di perkampungan Bani Saad lebih banyak keajaiban yang berlaku.

SEDANGKAN kampung itu paling teruk di landa kemarau, tetapi didapati kambing-kambing peliharaan Halimah dan suaminya, yang ditinggalkan sepanjang pemergian mereka ke Mekah turut mengeluarkan susu yang banyak.


SEOLAH-OLAH kambing-kambing itu dapat meragut rumput-rumput sedangkan kesemua tumbuhan dan rumput mati akibat musim kemarau yang melanda.

SEJAK mengambil Nabi Muhamad sebagai anak susunya, hidup Halimah sekeluarga benar-benar berubah kepada yang lebih baik berbanding orang lain.

BELIAU menikmati limpahan rezeki dan kemudahan dengan menyusui bayi yang mulia itu dan Rasulullah sendiri sepanjang di bawah jagaan keluarga Halimah tidak pernah menyusahkan atau memberi sebarang kesukaran kepada mereka.

BAGINDA tumbuh sebagai bayi yang tidak sahaja sihat dan kuat malah telah menunjukkan tanda-tanda kenabian dengan tidak banyak menimbul ragam dan kerenah kecuali anak yang mudah diuruskan dan dijaga.

MALAH baginda dengan sendiri untuk memutuskan susuan sebaik sahaja menjejak usia dua tahun.

INI menyebabkan Halimah berasa dukacita kerana bermakna beliau terpaksa berpisah dengan anak itu dan mesti dikembalikan kepada waris baginda.

LALU beliau suami isteri sekali lagi menemui Siti Aminah dan menyatakan hasrat mereka untuk terus memelihara si bayi dengan menjadikan alasan tidak mahu dijangkiti sebarang wabak penyakit yang menyerang Kota Mekah.


PUJUKAN demi pujukan menyebabkan Siti Aminah mengalah dan membenarkan supaya Halimah terus memelihara anaknya itu apabila beliau melihat sendiri puteranya itu kelihatan begitu sihat, cergas dan kuat.

- RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL -