09 June 2009

Perpaduan Tunjang Kemakmuran


NEGARA kuat mempunyai rakyat bersatu padu dan sentiasa bersama-sama membangunkan agama, bangsa dan negara itu. Negara inie sukar digugat dan sama sesekali tidak gentar dengan pelbagai ancaman atau ugutan pihak musuh.Bagi mencapai status negara kuat, tidak ada cara lain yang perlu dilakukan melainkan dengan bersatu. Ini sendiri bertepatan dengan hukum dan tuntutan Islam yang meletakkan perpaduan sebagai asas kekuatan negara.

PERPECAHAN, persengketaan, pergaduhan, permusuhan dan pertelingkahan amat dibenci Islam kerana akan membawa kepada kehancuran bukan saja kepada negara itu, malah seluruh rakyat, agama dan bangsanya.Tidak hairanlah, perpecahan akan memberi peluang kepada musuh untuk melaga-laga dan menghancurkan apa saja yang diingini, tanpa mengambil kira perasaan dan hak mangsanya.Bagi menghalang perpecahan, perpaduan hendaklah diutama dan ditekankan, tidak hanya dalam aspek pertahanan, malah merangkumi semua aspek kehidupan.

PERLU diingat, musuh tidak mengintai kelemahan sesebuah negara berdasarkan satu sudut saja, tetapi dalam banyak perkara yang boleh menguntungkan mereka. Justeru, umat Islam perlu mengukuhkan perpaduan ummah dalam semua aspek kehidupan sama ada perpaduan, ekonomi, politik atau dalam sebarang kegiatan sosial.Kunci perpaduan adalah persaudaraan sesama rakyat. Semakin erat persaudaraan, semakin kukuh perpaduan sesebuah negara atau ummah.

SEMANGAT persaudaraan perlu dipupuk dalam hati setiap rakyat, sebaliknya, permusuhan adalah virus utama kepada persaudaraan.Maknanya, jika sesebuah bangsa atau kaum sering permusuhan serta bersengketa, mereka sebenarnya tidak bersaudara, apatah lagi untuk membentuk kesatuan dan perpaduan.Perpaduan adalah lambang kekuatan dan ia juga sebagai lambang kedamaian serta keharmonian.

DALAM al-Quran, kita boleh mengkaji banyak ayat yang menyarankan supaya bersatu dan bersaudara. Di antaranya, firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya, orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu diberi rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10).Untuk mengekalkan persaudaraan, al-Quran menganjurkan agar usaha ke arah perdamaian diperhebatkan, jika pada ketika itu wujud bibit-bibit kehancuran dan kemusnahan.

DALAM pada itu, Allah memberi amaran kepada kita supaya jangan berpecah belah kerana ia boleh meleraikan persaudaraan dan kekuatan ummah. Dengan ini, umat Islam seharusnya bantu-membantu untuk membina keutuhan dan kesatuan di mana saja mereka berada. Kita hendaklah lebih mementingkan keutuhan umat daripada kepentingan diri.Perpaduan dan kesatuan menjadikan kita ummah yang kuat dan teguh, sedangkan perpecahan menyebabkan kita menjadi ummah lemah dan mudah dipermainkan musuh.

No comments:

Post a Comment