17 June 2009

Tindakan Biadab Bekas MB Perak Janganlah Berulang


SAYA rasa sangat terkejut dan merasa hampa setelah menonton berita di kaca TV apabila dimaklumkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama tiga hari disebabkan tindakan beliau yang bertentangan dengan peraturan Dewan sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Apa guna menjadi Ahli Parlimen jika tidak dapat menghadiri persidangan Parlimen di mana di situlah tempat beliau sepatutnya bertugas sebagai wakil rakyat.

JELAS dan nyata beliau ini memperjuangkan kepentingan peribadinya sahaja berbanding menyuarakan keperluan rakyat di kawasan Parlimen yang diwakilinya setelah dipilih secara demokrasi tidak berapa lama dahulu. Beliau nampaknya tidak berapa pintar apabila menyuarakan perkara membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Parlimen. Perkara itu sepatutnya disuarakan dalam sidang DUN Perak apabila ia bersidang nanti. Ketika itu beliau juga perlu hadir kerana juga telah dipilih secara demokrasi sebagai ADUN di negeri itu.

MENGAPA seorang bekas jurutera yang sudah tentu mempunyai kelulusan dari universiti, tidak faham perkara ini? Mengapa membazirkan masa wakil-wakil rakyat lain yang ingin membincangkan keperluan rakyat di Parlimen? Masa mereka terpaksa dihabiskan untuk menentang sikap bodoh itu. Perkara pertama yang patut disuarakan oleh beliau ialah apa yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Gantang dahulu. Apa keperluan semasa yang sangat mendesak bagi rakyat di kawasan beliau itu yang sepatutnya diutamakan, bukannya hal pembubaran DUN Perak yang tidak ada kena mengena untuk dibincangkan di Parlimen.
LAGIPUN tempoh sidang sangat terhad iaitu sehingga 30 Jun ini sahaja. Jika beliau dihalau keluar Dewan atas sebab-sebab beliau menyuarakan hak dan kepentingan rakyat di kawasan yang diwakilinya, saya menjadi orang pertama berdiri menyokong di belakangnya. Tetapi tidak mungkin menyokongnya berdasarkan apa yang telah dilakukannya itu. Dalam tempoh penggantungan tersebut, rakyat Bukit Gantang tidak ada wakil di Parlimen. Suara mereka tidak didengar di Parlimen sehinggalah wakil rakyat mereka itu kembali menyertai sidang nanti. Itupun jika beliau tidak membuat kecoh lagi.
SAYA berharap selepas ini rakyat di negara merdeka yang tercinta ini biarlah bijak memilih wakil rakyat. Tidak kira dari parti atau puak mana sekalipun, tetapi pilihlah orang yang bukan 'gila', suka mencarut, memaki-hamun, menjerit macam haiwan" ketika diberi peluang menjadi wakil di dalam Dewan mulia itu. Sekiranya perkara ini tidak diteliti dan dihalusi, saya rasa kenikmatan kemerdekaan yang kita rasa sekarang akan terhakis sedikit demi sedikit sehingga negara kita dipenuhi oleh tentera dan polis pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjaga supaya kita jangan bergaduh dan berbalah sesama sendiri.

No comments:

Post a Comment