15 June 2009

Penguasaan BI, Contohi Pengalaman AS


CADANGAN Bahasa Inggeris (BI) sebagai syarat wajib lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah satu dasar yang perlu diterima bulat-bulat. Semua pihak diberi masa untuk mengemukakan pandangan. Inilah sikap yang bertepatan dengan konsep ijtihad dan syura. Apa sahaja cadangan yang melibatkan dasar pendidikan perlu diteliti. Amat menyedihkan sekali apabila kaedah Communicative English yang diperkenalkan 20 tahun lalu gagal mencapai matlamatnya. Pelajar Melayu yang mempelajari BI pada peringkat rendah hingga menengah masih tidak mampu menguasai BI dengan baik. Antara punca yang dikenal pasti ialah kaedah pengajaran yang tidak sesuai, guru yang tidak berkualiti dan suasana persekitaran luar bandar yang tidak menggunakan bahasa itu dalam kehidupan seharian.

APA pun punca kegagalan menguasai BI, langkah-langkah mengatasinya memerlukan perbincangan mendalam, analisis pakar dan sumber kewangan yang mencukupi.
Cabaran kepada punca-punca tersebut ialah bagaimana memantapkan kaedah pengajaran dan melahirkan guru berkualiti dalam tempoh singkat. Dalam dunia yang menghadapi arus globalisasi dan penuh dengan saingan, faktor masa amat penting. Adakah kita mahu generasi kita mampu menguasai BI dalam masa yang lama? Sudah tentu akal dan logik kita mahukan keputusan singkat lagi memuaskan.

SEJARAH Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua boleh dijadikan contoh. Antara aspek yang menjadi fokus utama AS ketika itu ialah penguasaan bahasa Jerman untuk tujuan perisikan.
Bahasa itu begitu asing di kalangan rakyat AS tetapi ia perlu dikuasai dalam tempoh singkat oleh anggota tentera. Melalui gabungan pakar-pakar universiti dan tentera, mereka memperkenalkan program khas "Army Specialized Training Programme (ASTP)". Mereka membina sebuah perkampungan ala-Jerman, mengamalkan budaya dan makanan bangsa Jerman. Selain itu, para peserta diagih-agihkan ke dalam kelas-kelas yang bersaiz kecil. Mereka dilatih oleh penutur asli bahasa Jerman yang juga merupakan seorang pemberi maklumat bagi pihak AS. Latihan tertumpu kepada hafalan, penggunaan gambar, carta dan kaset. Selepas beberapa bulan, keputusan program tersebut membuahkan kejayaan yang menakjubkan.

JELAS kepada kita penguasaan BI juga boleh dipertingkatkan lagi berdasarkan sejarah dan pengalaman AS itu. Kaedah pengajaran yang tepat dalam pengajaran BI dapat membantu menguasai bahasa itu dalam tempoh singkat. Saya berharap dasar wajib lulus BI dalam SPM hanyalah cadangan berunsur motivasi agar pelajar menyedari kepentingan BI sebagai bahasa utiliti dan untuk berhubung dengan dunia luar. Pada hemat saya, jika dasar itu diluluskan ataupun tidak ia tidak memberi kesan yang ketara.

RAMAI pelajar Melayu yang gagal dalam BI pada peringkat SPM mampu menguasai bahasa itu apabila menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang memberi penekanan kepada kepentingan BI dan kaedah pengajarannya yang betul. Tidak mustahil pelajar Melayu luar bandar mampu menguasai BI melebihi pelajar bandar jika latihan intensif dilaksanakan dengan serius. Andaian pelajar luar bandar sukar menguasai BI juga tidak lagi menjadi alasan.

No comments:

Post a Comment