20 April 2009


SEINGAT kita, sejak kemelut politik melanda negara terutama di Perak, tidak pernah Sultan Azlan Shah memberi titah berhubung perkara tersebut. Hanya anakanda baginda, Raja Dr. Nazrin Shah yang beberapa kali menyentuh soal berkaitan institusi raja Melayu dan orang Melayu yang cuba dicalarkan oleh pihak tertentu.Tetapi semalam, bukan sekadar Raja Muda bertitah berkaitan kedudukan raja Melayu malahan Sultan Perak juga berbuat demikian.
BAGINDA selama ini mendengar dan memerhati pelbagai peristiwa politik yang ada ketikanya ‘hodoh’ dan memalukan. Satu peringatan yang menarik perhatian kita bahawa raja pemerintah bukan daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan.

BAGINDA juga mengingatkan betapa bahayanya cubaan menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara, mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja. Kita sudah keterlaluan dalam berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.Kemelut ini tidak berlaku jika semua pihak tidak membangkitkan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara, berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara serta memahami asas kewujudan Malaysia.

16 April 2009

Saf Kabinet


DATUK Seri Najib Tun Razak telahpun mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinetnya semalam dan telahpun mengingatkan safnya tentang apa yang diharapkan oleh rakyat.Soal integriti, kebolehan, kesetiaan dan kesungguhan diberi penekanan supaya harapan rakyat yang terdiri daripada semua kaum dapat dipenuhi dengan sebaik mungkin.

YANG pasti, Najib telah memperjelaskan hala tuju yang hendak dibawanya menerusi gagasan Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Beliau mahu semua pihak berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dan apa juga tindakan perlulah berdasarkan kehendak rakyat pelbagai etnik.

SOAL fungsi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga diperjelaskan. Yang pasti fungsi dan agensinya kekal dan diserapkan ke dalam pelbagai kementerian lain.Sudah tentu barisan Kabinet Najib menggalas tanggung jawab besar dalam membawa kemajuan kepada rakyat dan negara. Mengaitkan barisan Kabinet dengan KPI membuktikan tahap kesungguhan untuk berkhidmat.

07 April 2009

Gagasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan


BAGAIKAN satu kebetulan, Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri ketika sentimen dan gelombang politik negara yang sama turut menguji ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein. Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada September 1970 ketika negara masih dibayangi peristiwa 13 Mei 1969. Sentimen perkauman yang diapi-apikan oleh segelintir pihak sehingga mencetuskan konflik berdarah dan mencatat sejarah hitam kepada perpaduan pelbagai kaum di negara ini.

NEGARA turut berdepan dengan sentimen yang hampir serupa ketika Najib mengambil alih kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Isu-isu seperti hak keistimewaan bumiputera, pertikaian mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dan perkataan Allah, sengaja ditolak ke tengah gelanggang politik untuk diperdebatkan. Tanpa mengambil kira sensitiviti kaum-kaum tertentu, isu ini diperbesarkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meraih sokongan popular. Meskipun mungkin tidaklah sehingga mampu mencetuskan rusuhan kaum, namun sentimen itu boleh menghancurkan keharmonian perpaduan sekiranya dibiarkan berlarutan.
JUSTERU, sebagaimana Tun Razak berjaya menjernihkan keretakan hubungan kaum sepanjang pemerintahan beliau, begitulah juga yang diharapkan di bawah kepimpinan Najib. Kesungguhan Najib untuk membawa perhubungan kaum ke satu tahap yang lebih baik dapat dilihat sewaktu beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lalu.
Dalam perutusannya, Najib antara lain mengajak seluruh rakyat melaksanakan transformasi besar-besaran atas semangat "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan". Diletakkan paling hadapan memberikan maksud yang jelas bahawa penyatuan pelbagai kaum menjadi tunjang utama. Tanpa keteguhan perpaduan antara kaum, agenda penyampaian kebajikan rakyat dan merancakkan pembangunan negara tidak mungkin akan terlaksana.
Kekukuhan elemen perpaduan sangat penting kerana ia merupakan jaminan kepada keselamatan sosial, politik dan ekonomi.

DALAM erti kata lain, setiap rakyat Malaysia walau dalam kelompok mana sekali pun, tidak akan merasakan mereka terpinggir atau diketepikan dalam arus pembangunan negara.
Barangkali Najib melihat ada segelintir pihak yang merasakan sebaliknya. Perkara itu tidak boleh dipandang mudah apatah lagi dengan adanya pergerakan kumpulan tertentu yang lantang mempersoalkan mengenai kebajikan mereka. Meskipun banyak ruang yang boleh dinafikan kebenarannya, namun ia tidak memadai sekadar menafi atau membandingkan dengan kejayaan individu lain dalam kelompok yang sama. Sebaliknya, agenda yang lebih besar diperlukan bagi meyakinkan pelbagai kaum waima kelompok kecil sekali pun bahawa tidak pernah wujud amalan diskriminasi dalam pengagihan kekayaan negara.

SEMANGAT Satu Malaysia juga tidak sesekali boleh disalahertikan dengan perjuangan Malaysian Malaysia. Pembangkang mungkin melihat Najib dalam gagasannya mengambil pendekatan serupa dengan Malaysian Malaysia yang sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi rakyat pelbagai kaum. Namun konsep kesamarataan dalam Malaysian Malaysia jauh berbeza dengan ideologi kenegaraan dalam gagasan Satu Malaysia. Malaysian Malaysia secara jelas berpaksikan ideologi politik yang cuba memenuhi kepentingan politik sesetengah individu. Sedangkan Najib menerusi gagasan Satu Malaysia tidak akan sesekali menggadaikan kesepakatan yang dicapai seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

LEBIH jauh, gagasan Satu Malaysia yang menjadi harapan juga berteraskan semangat Rukunegara dalam melahirkan bangsa Malaysia yang berjaya. Dengan hakikat itu, Satu Malaysia boleh disimpulkan kepada usaha bagaimana seluruh rakyat Malaysia dapat memperkukuhkan jati diri kenegaraan di sebalik latar belakang etnik, agama dan gender yang berbeza. Justeru, satu asas yang boleh dipegang secara bersama perlu disuburkan di kalangan rakyat pelbagai kaum dalam menterjemahkan apa yang dimahukan menerusi Satu Malaysia. Ia tidak boleh mengelak daripada berpaksikan semangat patriotisme dan nasionalisme yang berteraskan ideologi kenegaraan.

MENARIKNYA, gagasan Satu Malaysia yang disusuli dengan "Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan" dilihat mempunyai semangat yang tepat ke arah keseimbangan dan kemurnian antara kaum. Tidak keterlaluan jika disimpulkan semangat gagasan itu bakal membawa negara di bawah era Najib menghampiri Wawasan 2020 seperti mana yang ingin direalisasikan. Bagaimanapun, gagasan semata-mata tidak menjanjikan realiti tanpa jentera pelaksana yang juga bijaksana. Hakikatnya, negara selepas 52 tahun mengecapi kemerdekaan sudah mempunyai agenda dan dasar yang besar ke arah merapatkan jurang antara kaum. Apa yang diperlukan oleh gagasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan barangkali penambahbaikan kepada dasar sedia ada supaya dapat disesuaikan dengan perubahan persekitaran semasa.

PELAKSANAANYA juga tidak boleh mengelak daripada berdepan cabaran dan rintangan, apatah lagi dalam usaha memperjelaskan sesuatu yang sudah menjadi hak dan keistimewaan kaum bumiputera. Sesuatu yang pasti, kekuatan sebenar kepada gagasan Satu Malaysia seperti yang diharapkan oleh Najib terletak di tangan rakyat kebanyakan. Rakyat harus faham bahawa gagasan Satu Malaysia yang berteraskan ideologi kenegaraan bukan semata-mata satu usaha untuk mengecapi kejayaan hari ini. Sebaliknya, apa yang lebih utama ialah ia bakal menentukan kelangsungan tamadun Malaysia yang mahu diwarisi kepada generasi akan datang.

06 April 2009

Pembangkang Perlu Profesional


MUNGKIN tidak keterlaluan kalau dikatakan arena politik Malaysia paling malang di dunia pada masa kini. Ia kerana kerajaan Malaysia di bawah teraju Barisan Nasional (BN) terpaksa berhadapan dengan satu pasukan pembangkang yang memualkan.

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, yang menyaksikan pembangkang mengukuhkan kedudukannya di Parlimen serta menawan Selangor, Perak (selama 11 bulan) dan Kedah telah menyebabkan pakatan berkenaan yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas 'naik toncang'.

MALAH kejayaan di dua pilihan raya kecil iaitu di Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu selepas itu telah memungkinkan pembangkang menjadi bongkak!

HARAPAN untuk melihat mereka menjadi pembangkang yang profesional dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta menyokong dasar baik yang dilakukan oleh kerajaan ternyata tidak kesampaian.

SEBALIKNYA apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan ada sahaja yang tidak kena, malah pemimpin-pemimpin pembangkang menggambarkan seolah-olah merekalah pakatan paling sempurna di dunia dan pemimpin-pemimpin mereka paling bersih serta paling baik berbanding pemimpin dalam BN.

JUSTERU mereka terus melakukan propaganda, hasutan, fitnah dan maki hamun kepada BN terutamanya UMNO. Bagi pembangkang, mereka yang paling layak memerintah Malaysia dan kononnya jika mereka menguasai negara ini, segalanya akan menjadi baik dan sempurna.
Tetapi rentetan apa yang berlaku selepas mereka memerintah negeri-negeri yang ditawan menggambarkan sebaliknya. Satu demi satu kepincangan pemimpin pembangkang mula terserlah. Pembangkang terlupa bahawa mereka juga adalah manusia yang tidak akan terlepas daripada melakukan noda dan dosa, kesilapan dan kesalahan.

OLEH itu, rakyat seharusnya menyedari hakikat ini dan tidak perlu terlalu mudah percaya dengan kata-kata pembangkang apatah lagi daripada insan-insan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang suatu ketika dulu berada dalam UMNO dan kerajaan.

RAMAI yang mengetahui siapa diri beliau sebenar ketika berada dalam kerajaan. Tetapi kini apabila mengetuai pembangkang segala-galanya berkaitan kerajaan tidak betul belaka.
Pembangkang seolah-olah memegang prinsip kalau BN buat salah, mereka buat betul. Kalau BN laksanakan sesuatu perkara, itu retorik. Kalau mereka buat, itu realiti. Kalau BN lakukan tindakan itu haram atau salah tetapi kalau mereka laksanakan itu 'halal' atau baik demi rakyat.

MALANG sekali, pembangkang tidak pernah mahu melihat kepada realiti dan keikhlasan terhadap apa juga yang dilakukan oleh BN. Lebih buruk lagi, apabila peralihan kuasa berlaku antara Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi mereka menganggap ia tidak sewajarnya berlaku.

MEREKA membuat pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap Najib dengan matlamat untuk mencalarkan imej Perdana Menteri yang baru di mata rakyat tetapi malangnya orang yang membuat tuduhan itu hakikatnya lebih buruk perangainya daripada orang yang difitnahnya.

MALAH fitnah paling gila yang dilakukan oleh pembangkang ialah menyebarkan dakyah bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak memperkenankan pelantikan Najib.
Sebenarnya, peralihan kuasa yang berlaku meresahkan pembangkang. Ini kerana mereka memahami bahawa perubahan pucuk pimpinan negara dan BN itu melengkapkan proses pemulihan yang dilakukan oleh parti tersebut dalam mengembalikan keyakinan kepada rakyat.

PEMBANGKANG benar-benar bimbang, peralihan kuasa itu akan memungkinkan rakyat kembali menyokong BN kerana kemenangan mereka dalam pilihan raya umum hanyalah kerana nasib bukan disebabkan oleh rakyat mahukan pembangkang memerintah.

OLEH itu, bagi menimbulkan keraguan di kalangan rakyat, mereka melemparkan pelbagai tuduhan dan apabila Najib mengumumkan membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan akan mengkaji akta itu, mereka mendakwa ia atas desakan pembangkang.
Tetapi kalau kerajaan tidak bertindak demikian, mereka akan menganggap kepimpinan baru negara diktator. Oleh itu, bagi pembangkang apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan adalah tidak betul, mereka sahaja yang sudut lain pula, tidak keterlaluan kalau dikatakan kejayaan Najib menduduki kerusi Perdana Menteri mengecewakan Anwar yang hasratnya terkubur pada tahun 1998. Anwar seolah-olah tidak mampu menerima hakikat bahawa kerusi nombor satu negara itu adalah milik Najib.

SEBELUM ini, beliau benar-benar ingin berada di situ sehingga sanggup memunculkan mimpi 16 September. Bagi Anwar, adalah sesuatu yang memilukan apabila terpaksa melihat Najib melangkah gagah memasuki bukit Seri Perdana sedangkan beliau terus dengan mimpi politiknya di Bukit Segambut.

APA pun, pembangkang harus sedar bahawa sandiwara politik mereka kini sudah memasuki babak akhir. Rakyat semakin sedar apa erti sebenar pakatan songsang yang melibatkan PKR, DAP dan Pas. Ia hanyalah pakatan untuk merebut kuasa dan bukannya berjuang bagi kepentingan rakyat.

DISEBABKAN nawaitu yang tidak betul itulah yang menyebabkan satu demi satu 'petaka' menimpa pakatan pembangkang. Ketika mereka masih bergelut dengan pelbagai masalah yang mula datang satu demi satu, BN terutamanya UMNO pula semakin pulih daripada kejutan akibat Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

IA terbukti apabila dalam pemilihan UMNO yang berlangsung baru-baru ini, Najib mendapat satu barisan kepimpinan yang dianggap cukup mantap. Malah dalam perbualan penulis dengan beberapa pemimpin pembangkang, mereka mengakui bahawa Najib memiliki satu pasukan yang padu.

KETIKA ini, pembangkang menanti pula bagaimanakah bentuk barisan Kabinet Najib. Mereka bukannya bersedia untuk memberikan ucapan tahniah atau mengalu-alukan pelantikan yang bakal berlaku, sebaliknya akan mengkaji satu demi satu latar belakang pemimpin yang dipilih.
Percayalah, sebaik manapun barisan Kabinet yang akan ditubuhkan oleh Najib, ia pastinya tidak akan mendapat sekelumit pujian daripada pembangkang terutamanya Anwar. Pelbagai tafsiran, fitnah dan tohmahan akan dilemparkan kepada barisan Kabinet tersebut.

NAMUN dalam soal ini, kita percaya Najib dan barisan kepimpinan negara tidak akan melayan kerenah pembangkang, apa yang lebih penting ialah sejauh manakah Kabinet berkenaan mampu merealisasikan impian 'Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.'

PEMBANGKANG boleh berkata apa sahaja kerana mereka sudah melihat kepimpinan baru negara di bawah Najib sudah menampakkan kelainan. Istilah 'Harapan Baru' yang sebelum ini dilaung-laungkan oleh pembangkang semakin jelas dilaksanakan oleh kerajaan manakala pembangkang pula terus diusik harapan yang semakin pudar.

03 April 2009


HARI ini satu lagi sejarah pematuhan Perlembagaan negara tercatat. Balairung Seri Istana Negara menyaksikan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang, yang bernama Najib Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keenam.

PEMIMPIN yang memakai gelaran Datuk Seri itu mempunyai rekod istimewa. Peruntukan Perkara 2 Perlembagaan pernah diguna pakai untuk melantik bapanya sebagai Perdana Menteri kedua Malaysia.

SEMESTINYA rakyat Malaysia pelbagai kaum, di bandar, luar bandar, Semenanjung, Sabah dan Sarawak meletakkan harapan amat tinggi agar upacara hari ini yang disusur galurnya daripada Perlembagaan negara membawa natijah positif.

JUSTERU mematuhi prosedur serta adat yang telah dijunjung sejak negara mencapai kemerdekaan hampir 52 tahun lalu, maka Perdana Menteri kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin merangkap Yang di-Pertuan Agong ke-13 untuk mempersembahkan hasrat meletakkan jawatan dan menamakan penggantinya iaitu Najib, semalam.

KESINAMBUNGAN daripada itu, maka hari ini Najib dengan disaksikan oleh pemimpin-pemimpin kanan, orang penting, para kenamaan dan duta-duta asing menyimpul janji dan memeterai sumpah untuk memikul beban tanggungjawab yang sesungguhnya amat berat.

NAMA Najib kini di kedudukan terakhir selepas Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Peralihan kuasa yang tidak pernah menampakkan ranjaunya sepanjang hampir 52 tahun negara mencapai kemerdekaan mewarnai giliran pelantikan Najib.

DI sebalik haru-biru yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, tata cara Perlembagaan negara masih disanjung dan dihormati.
LANTARAN, itulah panduan hidup kita sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan.

01 April 2009

Guru Berpolitik Boleh Jejas Perkhidmatan Dan Prestasi Pelajar

TIDAK dinafikan guru adalah golongan yang banyak membaca di negara ini. Oleh itu, mereka ini antara golongan yang banyak mengetahui pelbagai hal sama ada ruang lingkup yang mereka ajar di sekolah atau tidak.

GURU cemerlang ialah guru yang tidak jemu membaca untuk menambah pengetahuan mereka dan bukannya terperuk dengan ilmu untuk mereka ajarkan kepada anak murid mereka saja. Dengan itu, ada yang berpendapat golongan ini sesuai berpolitik atau terbabit aktif dengan politik. Sejarah membuktikan ramai pemimpin di negara kita berasal daripada para guru.

BAGAIMANAPUN, ada buruknya jika guru aktif berpolitik iaitu :-
  • Guru akan menghabiskan banyak masa diluar sekolah termasuk mengadakan ceramah, kempen dan sebagainya;
  • Ia mendatangkan kesan negatif kepada pelajar kerana guru yang terlalu aktif dalam politik mungkin akan bergerak ke luar daerah untuk menjalankan misi mereka dalam politik;
  • Memandangkan masalah disiplin yang tidak pernah surut di sekolah, ia mungkin tambah membebankan memandangkan kebanyakan guru yang berminat dalam politik tentulah dari kalangan lelaki;
  • Sikap berpuak-puak akan lebih ketara di sekolah apatah lagi jika ada perbezaan pendapat dan anutan politik di kalangan guru di sekolah. Dalam soal ini, selain merenggangkan hubungan antara guru pelajar turut berasa tempiasnya; dan
  • Adalah dibimbangi guru akan menyerapkan ideologi politik mereka kepada pelajar dan jika apa yang didedahkan itu penentangan terhadap kerajaan, keadaan akan menjadi lebih parah.

BUKAN hanya guru yang berpuak-puak, malah pelajar juga akan berpuak-puak dan menjadi medan untuk membahaskan soal politik.

DAN bagi memperkukuhkan lagi kredibiliti guru, para guru boleh memainkan peranan dengan cara lain untuk menunjukkan bahawa mereka juga berpolitik. Mereka boleh menyumbangkan buah fikiran melalui tulisan seperti pejuang tanah air sebelum ini yang banyak meniupkan semangat kebangsaan menerusi tulisan mereka di akhbar dan majalah.