07 April 2009

Gagasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan


BAGAIKAN satu kebetulan, Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri ketika sentimen dan gelombang politik negara yang sama turut menguji ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein. Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada September 1970 ketika negara masih dibayangi peristiwa 13 Mei 1969. Sentimen perkauman yang diapi-apikan oleh segelintir pihak sehingga mencetuskan konflik berdarah dan mencatat sejarah hitam kepada perpaduan pelbagai kaum di negara ini.

NEGARA turut berdepan dengan sentimen yang hampir serupa ketika Najib mengambil alih kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Isu-isu seperti hak keistimewaan bumiputera, pertikaian mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dan perkataan Allah, sengaja ditolak ke tengah gelanggang politik untuk diperdebatkan. Tanpa mengambil kira sensitiviti kaum-kaum tertentu, isu ini diperbesarkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meraih sokongan popular. Meskipun mungkin tidaklah sehingga mampu mencetuskan rusuhan kaum, namun sentimen itu boleh menghancurkan keharmonian perpaduan sekiranya dibiarkan berlarutan.
JUSTERU, sebagaimana Tun Razak berjaya menjernihkan keretakan hubungan kaum sepanjang pemerintahan beliau, begitulah juga yang diharapkan di bawah kepimpinan Najib. Kesungguhan Najib untuk membawa perhubungan kaum ke satu tahap yang lebih baik dapat dilihat sewaktu beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lalu.
Dalam perutusannya, Najib antara lain mengajak seluruh rakyat melaksanakan transformasi besar-besaran atas semangat "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan". Diletakkan paling hadapan memberikan maksud yang jelas bahawa penyatuan pelbagai kaum menjadi tunjang utama. Tanpa keteguhan perpaduan antara kaum, agenda penyampaian kebajikan rakyat dan merancakkan pembangunan negara tidak mungkin akan terlaksana.
Kekukuhan elemen perpaduan sangat penting kerana ia merupakan jaminan kepada keselamatan sosial, politik dan ekonomi.

DALAM erti kata lain, setiap rakyat Malaysia walau dalam kelompok mana sekali pun, tidak akan merasakan mereka terpinggir atau diketepikan dalam arus pembangunan negara.
Barangkali Najib melihat ada segelintir pihak yang merasakan sebaliknya. Perkara itu tidak boleh dipandang mudah apatah lagi dengan adanya pergerakan kumpulan tertentu yang lantang mempersoalkan mengenai kebajikan mereka. Meskipun banyak ruang yang boleh dinafikan kebenarannya, namun ia tidak memadai sekadar menafi atau membandingkan dengan kejayaan individu lain dalam kelompok yang sama. Sebaliknya, agenda yang lebih besar diperlukan bagi meyakinkan pelbagai kaum waima kelompok kecil sekali pun bahawa tidak pernah wujud amalan diskriminasi dalam pengagihan kekayaan negara.

SEMANGAT Satu Malaysia juga tidak sesekali boleh disalahertikan dengan perjuangan Malaysian Malaysia. Pembangkang mungkin melihat Najib dalam gagasannya mengambil pendekatan serupa dengan Malaysian Malaysia yang sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi rakyat pelbagai kaum. Namun konsep kesamarataan dalam Malaysian Malaysia jauh berbeza dengan ideologi kenegaraan dalam gagasan Satu Malaysia. Malaysian Malaysia secara jelas berpaksikan ideologi politik yang cuba memenuhi kepentingan politik sesetengah individu. Sedangkan Najib menerusi gagasan Satu Malaysia tidak akan sesekali menggadaikan kesepakatan yang dicapai seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

LEBIH jauh, gagasan Satu Malaysia yang menjadi harapan juga berteraskan semangat Rukunegara dalam melahirkan bangsa Malaysia yang berjaya. Dengan hakikat itu, Satu Malaysia boleh disimpulkan kepada usaha bagaimana seluruh rakyat Malaysia dapat memperkukuhkan jati diri kenegaraan di sebalik latar belakang etnik, agama dan gender yang berbeza. Justeru, satu asas yang boleh dipegang secara bersama perlu disuburkan di kalangan rakyat pelbagai kaum dalam menterjemahkan apa yang dimahukan menerusi Satu Malaysia. Ia tidak boleh mengelak daripada berpaksikan semangat patriotisme dan nasionalisme yang berteraskan ideologi kenegaraan.

MENARIKNYA, gagasan Satu Malaysia yang disusuli dengan "Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan" dilihat mempunyai semangat yang tepat ke arah keseimbangan dan kemurnian antara kaum. Tidak keterlaluan jika disimpulkan semangat gagasan itu bakal membawa negara di bawah era Najib menghampiri Wawasan 2020 seperti mana yang ingin direalisasikan. Bagaimanapun, gagasan semata-mata tidak menjanjikan realiti tanpa jentera pelaksana yang juga bijaksana. Hakikatnya, negara selepas 52 tahun mengecapi kemerdekaan sudah mempunyai agenda dan dasar yang besar ke arah merapatkan jurang antara kaum. Apa yang diperlukan oleh gagasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan barangkali penambahbaikan kepada dasar sedia ada supaya dapat disesuaikan dengan perubahan persekitaran semasa.

PELAKSANAANYA juga tidak boleh mengelak daripada berdepan cabaran dan rintangan, apatah lagi dalam usaha memperjelaskan sesuatu yang sudah menjadi hak dan keistimewaan kaum bumiputera. Sesuatu yang pasti, kekuatan sebenar kepada gagasan Satu Malaysia seperti yang diharapkan oleh Najib terletak di tangan rakyat kebanyakan. Rakyat harus faham bahawa gagasan Satu Malaysia yang berteraskan ideologi kenegaraan bukan semata-mata satu usaha untuk mengecapi kejayaan hari ini. Sebaliknya, apa yang lebih utama ialah ia bakal menentukan kelangsungan tamadun Malaysia yang mahu diwarisi kepada generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment