17 August 2009

SPRM Ku


ARJUNA terkejut dengan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bercadang menggantung sementara siasatan melibatkan ahli-ahli politik.

Tindakan itu sebenarnya tidak membawa sebarang penyelesaian dalam usaha memerangi rasuah. Sama ada politik atau tidak, usaha membanteras rasuah perlu diteruskan tanpa sebarang rasa takut.

Justeru ARJUNA bersetuju dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa SPRM tidak sepatutnya lari daripada amanah yang diberi walaupun menerima kecaman dan tekanan daripada sesetengah pihak.

Apa yang penting, SPRM memastikan siasatan dijalankan dengan telus sementara pihak yang disiasat atau diminta membantu siasatan, memberi kerjasama dengan baik. Bersedialah disiasat dan tidak perlu gusar jika mereka tidak bersalah.

ARJUNA percaya dalam menjayakan siasatan, SPRM bertindak mengikut garis panduan yang ditetapkan. Hakikatnya pegawai SPRM juga manusia biasa tetapi amanah dan tanggungjawab yang dipikul amat berat. Mereka memerlukan kerjasama masyarakat supaya siasatan dijalankan tanpa perasaan curiga atau tertekan.

Bagi ARJUNA, hanya orang yang terasa bersalah akan menganggap SPRM bertindak kasar semasa melakukan siasatan yang sering ditonton dalam filem-filem Inggeris.

ARJUNA - Sabor je lerrr

13 August 2009

Kenapa Tok Guru?


ARJUNA geleng kepala apabila membaca reaksi Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai isu berkaitan penghinaan terhadap Islam oleh wakil rakyat DAP, sekutu PAS dalam pakatan pembangkang.

Nik Aziz tidak membantah kerana bagi beliau parti itu bukan parti Islam. Namun selaku pemimpin Melayu Islam, ARJUNA tertanya-tanya dengan kenyataan Tok Guru itu kerana ia sama sekali berbeza dengan reaksi pihak-pihak lain dalam masyarakat Islam yang berkepentingan dalam isu terbabit.

ARJUNA cuba menerima komen Nik Abdul Aziz tersebut sebagai haknya untuk bersuara tetapi pada masa yang sama pemikiran ARJUNA tidak dapat lari daripada mengaitkan ulasan itu dengan kepentingan politiknya.

Apakah Nik Abdul Aziz penganut agama Islam, boleh menerima penghinaan terhadap agama Islam daripada seorang bukan Islam yang bukan mewakili mana-mana parti politik?

Hebat sungguh keterbukaan beliau jika dalam apa keadaan pun, beliau boleh menerima penghinaan sedemikian rupa.

Bagi ARJUNA dalam kes sekarang Nik Aziz bercakap begitu kerana ia seorang pemimpin politik yang mengulas kenyataan "rakan politiknya", tidak lebih dari itu.

ARJUNA - cukup faham

17 June 2009

Tindakan Biadab Bekas MB Perak Janganlah Berulang


SAYA rasa sangat terkejut dan merasa hampa setelah menonton berita di kaca TV apabila dimaklumkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama tiga hari disebabkan tindakan beliau yang bertentangan dengan peraturan Dewan sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Apa guna menjadi Ahli Parlimen jika tidak dapat menghadiri persidangan Parlimen di mana di situlah tempat beliau sepatutnya bertugas sebagai wakil rakyat.

JELAS dan nyata beliau ini memperjuangkan kepentingan peribadinya sahaja berbanding menyuarakan keperluan rakyat di kawasan Parlimen yang diwakilinya setelah dipilih secara demokrasi tidak berapa lama dahulu. Beliau nampaknya tidak berapa pintar apabila menyuarakan perkara membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Parlimen. Perkara itu sepatutnya disuarakan dalam sidang DUN Perak apabila ia bersidang nanti. Ketika itu beliau juga perlu hadir kerana juga telah dipilih secara demokrasi sebagai ADUN di negeri itu.

MENGAPA seorang bekas jurutera yang sudah tentu mempunyai kelulusan dari universiti, tidak faham perkara ini? Mengapa membazirkan masa wakil-wakil rakyat lain yang ingin membincangkan keperluan rakyat di Parlimen? Masa mereka terpaksa dihabiskan untuk menentang sikap bodoh itu. Perkara pertama yang patut disuarakan oleh beliau ialah apa yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Gantang dahulu. Apa keperluan semasa yang sangat mendesak bagi rakyat di kawasan beliau itu yang sepatutnya diutamakan, bukannya hal pembubaran DUN Perak yang tidak ada kena mengena untuk dibincangkan di Parlimen.
LAGIPUN tempoh sidang sangat terhad iaitu sehingga 30 Jun ini sahaja. Jika beliau dihalau keluar Dewan atas sebab-sebab beliau menyuarakan hak dan kepentingan rakyat di kawasan yang diwakilinya, saya menjadi orang pertama berdiri menyokong di belakangnya. Tetapi tidak mungkin menyokongnya berdasarkan apa yang telah dilakukannya itu. Dalam tempoh penggantungan tersebut, rakyat Bukit Gantang tidak ada wakil di Parlimen. Suara mereka tidak didengar di Parlimen sehinggalah wakil rakyat mereka itu kembali menyertai sidang nanti. Itupun jika beliau tidak membuat kecoh lagi.
SAYA berharap selepas ini rakyat di negara merdeka yang tercinta ini biarlah bijak memilih wakil rakyat. Tidak kira dari parti atau puak mana sekalipun, tetapi pilihlah orang yang bukan 'gila', suka mencarut, memaki-hamun, menjerit macam haiwan" ketika diberi peluang menjadi wakil di dalam Dewan mulia itu. Sekiranya perkara ini tidak diteliti dan dihalusi, saya rasa kenikmatan kemerdekaan yang kita rasa sekarang akan terhakis sedikit demi sedikit sehingga negara kita dipenuhi oleh tentera dan polis pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjaga supaya kita jangan bergaduh dan berbalah sesama sendiri.

15 June 2009

Penguasaan BI, Contohi Pengalaman AS


CADANGAN Bahasa Inggeris (BI) sebagai syarat wajib lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah satu dasar yang perlu diterima bulat-bulat. Semua pihak diberi masa untuk mengemukakan pandangan. Inilah sikap yang bertepatan dengan konsep ijtihad dan syura. Apa sahaja cadangan yang melibatkan dasar pendidikan perlu diteliti. Amat menyedihkan sekali apabila kaedah Communicative English yang diperkenalkan 20 tahun lalu gagal mencapai matlamatnya. Pelajar Melayu yang mempelajari BI pada peringkat rendah hingga menengah masih tidak mampu menguasai BI dengan baik. Antara punca yang dikenal pasti ialah kaedah pengajaran yang tidak sesuai, guru yang tidak berkualiti dan suasana persekitaran luar bandar yang tidak menggunakan bahasa itu dalam kehidupan seharian.

APA pun punca kegagalan menguasai BI, langkah-langkah mengatasinya memerlukan perbincangan mendalam, analisis pakar dan sumber kewangan yang mencukupi.
Cabaran kepada punca-punca tersebut ialah bagaimana memantapkan kaedah pengajaran dan melahirkan guru berkualiti dalam tempoh singkat. Dalam dunia yang menghadapi arus globalisasi dan penuh dengan saingan, faktor masa amat penting. Adakah kita mahu generasi kita mampu menguasai BI dalam masa yang lama? Sudah tentu akal dan logik kita mahukan keputusan singkat lagi memuaskan.

SEJARAH Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua boleh dijadikan contoh. Antara aspek yang menjadi fokus utama AS ketika itu ialah penguasaan bahasa Jerman untuk tujuan perisikan.
Bahasa itu begitu asing di kalangan rakyat AS tetapi ia perlu dikuasai dalam tempoh singkat oleh anggota tentera. Melalui gabungan pakar-pakar universiti dan tentera, mereka memperkenalkan program khas "Army Specialized Training Programme (ASTP)". Mereka membina sebuah perkampungan ala-Jerman, mengamalkan budaya dan makanan bangsa Jerman. Selain itu, para peserta diagih-agihkan ke dalam kelas-kelas yang bersaiz kecil. Mereka dilatih oleh penutur asli bahasa Jerman yang juga merupakan seorang pemberi maklumat bagi pihak AS. Latihan tertumpu kepada hafalan, penggunaan gambar, carta dan kaset. Selepas beberapa bulan, keputusan program tersebut membuahkan kejayaan yang menakjubkan.

JELAS kepada kita penguasaan BI juga boleh dipertingkatkan lagi berdasarkan sejarah dan pengalaman AS itu. Kaedah pengajaran yang tepat dalam pengajaran BI dapat membantu menguasai bahasa itu dalam tempoh singkat. Saya berharap dasar wajib lulus BI dalam SPM hanyalah cadangan berunsur motivasi agar pelajar menyedari kepentingan BI sebagai bahasa utiliti dan untuk berhubung dengan dunia luar. Pada hemat saya, jika dasar itu diluluskan ataupun tidak ia tidak memberi kesan yang ketara.

RAMAI pelajar Melayu yang gagal dalam BI pada peringkat SPM mampu menguasai bahasa itu apabila menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang memberi penekanan kepada kepentingan BI dan kaedah pengajarannya yang betul. Tidak mustahil pelajar Melayu luar bandar mampu menguasai BI melebihi pelajar bandar jika latihan intensif dilaksanakan dengan serius. Andaian pelajar luar bandar sukar menguasai BI juga tidak lagi menjadi alasan.

09 June 2009

Perpaduan Tunjang Kemakmuran


NEGARA kuat mempunyai rakyat bersatu padu dan sentiasa bersama-sama membangunkan agama, bangsa dan negara itu. Negara inie sukar digugat dan sama sesekali tidak gentar dengan pelbagai ancaman atau ugutan pihak musuh.Bagi mencapai status negara kuat, tidak ada cara lain yang perlu dilakukan melainkan dengan bersatu. Ini sendiri bertepatan dengan hukum dan tuntutan Islam yang meletakkan perpaduan sebagai asas kekuatan negara.

PERPECAHAN, persengketaan, pergaduhan, permusuhan dan pertelingkahan amat dibenci Islam kerana akan membawa kepada kehancuran bukan saja kepada negara itu, malah seluruh rakyat, agama dan bangsanya.Tidak hairanlah, perpecahan akan memberi peluang kepada musuh untuk melaga-laga dan menghancurkan apa saja yang diingini, tanpa mengambil kira perasaan dan hak mangsanya.Bagi menghalang perpecahan, perpaduan hendaklah diutama dan ditekankan, tidak hanya dalam aspek pertahanan, malah merangkumi semua aspek kehidupan.

PERLU diingat, musuh tidak mengintai kelemahan sesebuah negara berdasarkan satu sudut saja, tetapi dalam banyak perkara yang boleh menguntungkan mereka. Justeru, umat Islam perlu mengukuhkan perpaduan ummah dalam semua aspek kehidupan sama ada perpaduan, ekonomi, politik atau dalam sebarang kegiatan sosial.Kunci perpaduan adalah persaudaraan sesama rakyat. Semakin erat persaudaraan, semakin kukuh perpaduan sesebuah negara atau ummah.

SEMANGAT persaudaraan perlu dipupuk dalam hati setiap rakyat, sebaliknya, permusuhan adalah virus utama kepada persaudaraan.Maknanya, jika sesebuah bangsa atau kaum sering permusuhan serta bersengketa, mereka sebenarnya tidak bersaudara, apatah lagi untuk membentuk kesatuan dan perpaduan.Perpaduan adalah lambang kekuatan dan ia juga sebagai lambang kedamaian serta keharmonian.

DALAM al-Quran, kita boleh mengkaji banyak ayat yang menyarankan supaya bersatu dan bersaudara. Di antaranya, firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya, orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu diberi rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10).Untuk mengekalkan persaudaraan, al-Quran menganjurkan agar usaha ke arah perdamaian diperhebatkan, jika pada ketika itu wujud bibit-bibit kehancuran dan kemusnahan.

DALAM pada itu, Allah memberi amaran kepada kita supaya jangan berpecah belah kerana ia boleh meleraikan persaudaraan dan kekuatan ummah. Dengan ini, umat Islam seharusnya bantu-membantu untuk membina keutuhan dan kesatuan di mana saja mereka berada. Kita hendaklah lebih mementingkan keutuhan umat daripada kepentingan diri.Perpaduan dan kesatuan menjadikan kita ummah yang kuat dan teguh, sedangkan perpecahan menyebabkan kita menjadi ummah lemah dan mudah dipermainkan musuh.

06 May 2009

Jenayah Ragut


SEMALAM, seorang lagi wanita mangsa ragut meninggal dunia setelah koma sejak Ahad lepas. Akibat beg tangannya direntap, wanita yang sedang mengandung itu terjatuh, kepalanya tercedera lalu koma. Kes Ahad lepas yang berlaku tidak sampai 100 meter dari rumahnya di Ayer Hitam, Batu Pahat, sebenarnya kes ragut kedua dialami ibu muda itu. Dia diragut pertama kali pertengahan tahun lepas.


KISAH yang menyayat hati itu mengingatkan kita kepada beberapa kes lagi seumpamanya. Sudah ramai yang menjadi mangsa ragut. Selain barangan yang diragut, nyawa mereka gagal diselamatkan setelah beberapa lama menderita dan terlantar di katil hospital. Bagi mangsa ragut yang terselamat, mereka biasanya sukar melupakan pengalaman ngeri itu.


YANG pasti, jenayah ragut sudah menjadi satu fenomena di negara kita sama ada di kampung atau di bandar. Walaupun kita berada di hadapan rumah sendiri, risiko ragut sentiasa ada. Sudah tentu, mengharapkan polis semata-mata bagi membendung fenomena ini adalah sesuatu yang tidak wajar. Setiap daripada kita perlu mencari jalan mencegahnya, fikir-fikirkan lah...

20 April 2009


SEINGAT kita, sejak kemelut politik melanda negara terutama di Perak, tidak pernah Sultan Azlan Shah memberi titah berhubung perkara tersebut. Hanya anakanda baginda, Raja Dr. Nazrin Shah yang beberapa kali menyentuh soal berkaitan institusi raja Melayu dan orang Melayu yang cuba dicalarkan oleh pihak tertentu.Tetapi semalam, bukan sekadar Raja Muda bertitah berkaitan kedudukan raja Melayu malahan Sultan Perak juga berbuat demikian.
BAGINDA selama ini mendengar dan memerhati pelbagai peristiwa politik yang ada ketikanya ‘hodoh’ dan memalukan. Satu peringatan yang menarik perhatian kita bahawa raja pemerintah bukan daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan.

BAGINDA juga mengingatkan betapa bahayanya cubaan menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara, mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja. Kita sudah keterlaluan dalam berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.Kemelut ini tidak berlaku jika semua pihak tidak membangkitkan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara, berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara serta memahami asas kewujudan Malaysia.