ARJUNA terkejut dengan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bercadang menggantung sementara siasatan melibatkan ahli-ahli politik.
Tindakan itu sebenarnya tidak membawa sebarang penyelesaian dalam usaha memerangi rasuah. Sama ada politik atau tidak, usaha membanteras rasuah perlu diteruskan tanpa sebarang rasa takut.
Justeru ARJUNA bersetuju dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa SPRM tidak sepatutnya lari daripada amanah yang diberi walaupun menerima kecaman dan tekanan daripada sesetengah pihak.
Apa yang penting, SPRM memastikan siasatan dijalankan dengan telus sementara pihak yang disiasat atau diminta membantu siasatan, memberi kerjasama dengan baik. Bersedialah disiasat dan tidak perlu gusar jika mereka tidak bersalah.
ARJUNA percaya dalam menjayakan siasatan, SPRM bertindak mengikut garis panduan yang ditetapkan. Hakikatnya pegawai SPRM juga manusia biasa tetapi amanah dan tanggungjawab yang dipikul amat berat. Mereka memerlukan kerjasama masyarakat supaya siasatan dijalankan tanpa perasaan curiga atau tertekan.
Bagi ARJUNA, hanya orang yang terasa bersalah akan menganggap SPRM bertindak kasar semasa melakukan siasatan yang sering ditonton dalam filem-filem Inggeris.
ARJUNA - Sabor je lerrr